Rss Feed
  1. www.tips-fb.com
    Salam aku untuk kamu.
    Salam jiwang jiweng.

    Tahniah buat aku. Tak lama mana aku tinggalkan tempat ini, dan sekarang aku kembali lagi. Pencapaian yang boleh dibanggakan. Sahabat aku itu pasti bertepuk kegembiraan. Ah! Kalau ketahuan dek dirinya coret aku di kesempatan ini adalah tentang dia, mahu diketuknya kepalaku, mahu dikekahnya jari jemari runcing aku ini. Persetankanlah. Ini untuk kebaikan dia juga.

    Pernah sahabat itu rungkai kisah luah masalahnya pada aku. Biasalah dah namanya perempuan, soal hati soal perasaan memang mudah terbelit dekat leher, bikin serabut kepala otak sendiri. Berbalik pada diri aku yang kurang kejiwangannya mahu naik rimas jugalah, rasa macam lemas dalam lautan yang berair manis. Ah! Dah cinta itu manis. Orang-orang katalah, manisnya serupa apa dan bagaimana aku pun tiadalah berapa pastinya. Keraguannya berbunyi seperti ini.  


    Perkenalan dirinya dengan sahabat lelaki itu hampir 2 tahun 4 bulan usianya. Telefon mendekatkan lagi jarak antara mereka. Perhubungan telefon ke telefon (SMS sahaja) pula sudah 1 tahun 4 bulan lamanya. Lamakah? Entah tak pasti. Sepanjang persahabatan ini, si lelaki sudah bilang pada awalnya, anggapannya dia pada si sahabat hanya sebagai seorang sahabat. Tiada yang lebih. Berlangsunglah kisah telefon ke telefon, cerita itu ini, tanya khabar hampir di setiap hari. Ada juga harinya tiada berhubung. Segalanya berjalan seperti biasa, kebanyakan waktunya, si lelaki yang akan memulakan perbualan. Sahabat aku ini kata, dia tiada berani untuk mula bicara, sebabnya pertamanya dia bimbang akan wujud rasa di kemudian hari jika ianya berlarutan. Keduanya, sahabat ini sudah terbiasa saban hari duduk menanti si sahabat lelaki ini mula bertanya khabar. Apa yang berani dia lakukan, hanyalah ucap selamat malam di setiap sebelum tidurnya. 

    Soal sahabat pada aku, bagaimana si sahabat lelakinya itu begitu tekun dan sabar untuk mula bicara hampir setiap harinya? Apakah ada sesuatu di sebaliknya sehingga teguh azamnya untuk mula bicara saban hari tanpa sedikitpun berkecil hati dengan sahabatku ini kerana jarang untuk memulakannya dulu? Kini. Hampir sebulan mereka tiada bicara. Benarlah orang kata, masa boleh mengubah segalanya. Sahabatku ini yang dulu gagah, tak lut perasaan, kini mula goyah dengan perasaan sendiri. Katanya dia, seolah seperti satu kehilangan. Dia mula keliru kerana hakikatnya dia mula rasa sesuatu. (Ah! Apa lagi. Rasa itu Kuch Kuch Hota Hai yang kau selalu tonton itulah.) Dan sering dia tertanya apa perasaan di pihak yang lagi satu.

    Ini jawab aku. Walau tak arif mana, rimas sedikit bila bab jiwa-jiwa, tapi sahabat runsing perlu dibantu. Aku kata pada dia, kalau kau baca blog The Other Khairul, kau akan tahu, bahawa sesungguhnya kau tak mungkin akan tahu lelaki itu suka atau tidak pada kau. Tepat kata beliau. Lelaki sukar mahu kau jangka mahu kau teka makna di sebalik tiap tindakannya. Sebagai perempuan, ya aku akui, ada kemungkinan lelaki itu menaruh perasaan pada kau, jika tidak masakan dia sanggup berhabis kredit, berhabis masa untuk hanya bicara dengan seorang perempuan yang tiada signifikannya dalam hidup dia. Kecualilah, jika ada signifikannya.

    TAPI!! Ya. Ada tapinya juga. Lelaki ini mungkin hanya menganggap kau sebagai sahabat. Ya sahabat dan hanya sahabat. Titik noktah. Lelaki sememangnya begitu, dia boleh duduk borak berjam-jam, hari-hari dengan seorang wanita, tapi katanya dia, 

    "aku anggap dia hanya sebagai sahabat baik aku saja"

    Ya. Itu yang selalu aku nampak senario di zaman ini. Benarkan kata aku, lelaki sukar kau duga. Sama juga tingkahnya dengan perempuan. Kau lihat kan sekarang, dia tiada lagi dalam hidup kau, dia sepi, dia menghilangkan diri, mungkin saja dia sudah tiada lagi semangat waja yang ada saban waktu dulu untuk mula menghubungi kau. Atau mungkin jua dia telah menemui wanita lain yang dia rasa boleh jadi sahabat yang lebih baik dari kau. Jadi sekarang, apa kata kau? Putus asa pada rasa kau? Terus menanti dan setia menghitung hari kau? Kau gila jika begitu. Kau takut mula bicara mencari jawabnya pada gundah rasa di hati kau, tapi masih kau setia mahu menanti dan menunggu. Sah sah kau gila sahabatku.


    Penyelesaian yang aku tawarkan untuk kau. Beredar dari hidupnya. Berhenti mengira detik kau, kau mengira, entah-entah dia tak hirau pun dah berapa lama tiada bicara antara kalian berdua. Atau mungkin juga masa yang panjang itu telah bikin dia lupa pada kau. Hanya kau saja, dek kerana masa, cambah perasaan lain dalam hidup kau, antara kau dan dia. Apa punya gaya engkau ini. Pelik pelik.

    Kau mahu tunggu? Terserah. Itu masa kau. Itu hidup kau. Itu perasaan kau. Aku di sini, di sisi, mampu panjat doa agar kau ketemu bahagia yang kau ingini. Bahagia yang mampu cuci bersih kering luka lama kau. Moga selamat segalanya untuk kau.

    Sesungguhnya hidup ini lebih dari sekadar jiwang jiweng. Salam.


  2. Inspirasi Dua Dunia Berbeza

    Jumaat, 29 Julai 2011

    www.tips-fb.com
    Salam aku untuk kamu.
    Salam jiwang jiweng.

    Aku hidu. Ada bau-bau rumah tinggal lama. Ketuk kepala sendiri. Sisi, seorang sahabat bebel pada diri sendiri. Aku tiada ambil pusing. Berkali sahabat menyuakan patah ayat dengan tanda tanya. Bila lagi waktu untuk aku tulis-tulis semula? Ah. Aku bukan seperti sahabat itu, tegar pada dunia coret maya dia tak perlu aku ungkai satu-satu. Cukup satu kata, gila. Ya, gila sahabat ini pada corat-coret dunia atas taliannya. Mahu aku jadi persis dan lagak dia? Ah lagi aku dalam hati. Aku malas. Bukti cukup pada patah kata terakhir, dikarang penuh madah dan bergaya, dan itu kisah 2 purnama yang lalu. Kau lihat sendiri bukan bukti malas itu.

    Keluhan. Bungkam. Sepi.

    Apa mahu aku kali ini? Apa perancangan jari jemari runcing ini? Apa inginnya otak di dalam tempurung kepala ini? Biar begini mula ceritanya. Satu kata jadi titik tolak berkembangnya karya yang ini. Inspirasi. Bagaimana mulanya langkah aku orak lalu aku hayun satu dan satu? Seingat aku, pernah dibilang dulu, dunia ini bukan yang pertama. Pernah aku merasa gemilang dan lelahnya dunia persis ini. Tika dan waktu di saat yang itu, aku kepingin buka satu lembaran dunia coret lain dari dulu, bawa aku ke satu dimensi yang lebih terbuka dan matang, gaya kata juga pemikirannya. 

    Inspirasi aku, sahabat itu dah tentu-tentunya. Sahabat itu. Jiwang yang tepu, sampaikan jika diibaratkan dia seperti kabus, tepu jiwangnya itu ibarat kabus yang tebal sampai tiada nampak kaki jika ditundukkan kepala pandang ke bawah. Dunia ini aku bentuk biar jadi lawannya dia, jadi penangkis dan penyeimbang, biar neutral duduknya, lalu aku namakannya ME NOT JIWANG - HIDUP INI LEBIH DARI SEKADAR JIWANG JIWENG.

    Jiwang jiweng selalu mahu rimas jugalah. Iya tak? 

    Sahabat itu serupa ini tak lebih tak kurang. 
    Sarang sarang, love love, cinta cinta. 
    Me? Not jiwang. 
    I mean, jiwang TAPI tak jiwang sangat.
    :p












    Ini bukan kutuk bukan jua umpatan. Sahabat itu baca. Itu aku pasti. Terlalu pasti. Yakin dan pasti. Kau jiwang dan aku tak jiwang. Biar ketemu titik seimbang, kau tak jatuh, aku tak rebah, tetap berdiri gah. Biar nanti aku tulis lagi, tapi kita lari kejap dari gaya begini. Kita bicara sempoi biar dekat jiwa aku dan jiwa kamu. Ucap selamat tinggal dari dunia ini. Sampai ketemu lagi.

    Sesungguhnya hidup ini lebih dari sekadar jiwang jiweng. Salam.


  3. Di Sebalik Tabir : Me Not Jiwang

    Jumaat, 27 Mei 2011

    www.tips-fb.com
    -Bukan gambar sebenar-

    Salam aku untuk kamu.
    Salam jiwang jiweng.


    Ini cebis terulung, awalan perjalanan dunia Me Not Jiwang. Jujur bicara, ini bukan langkah dan jejak pertama aku dalam dunia tanpa suara dan pandangan mata ini. Aku pernah coret di sana sini, berjalan berlari, kadang perlahan kadang deras, turun naik semuanya aku lalui. 

    Percubaan yang ini, dengan kelahiran Me Not Jiwang, aku mahu ungkap tirai sisi diri aku yang lagi satu. Coretan yang beda, wajah diri yang tak sama, dimensi yang terpancar dari sinar mata insan yang tiada tahu siapa gerangannya. Aku mahu Me Not Jiwang mengatur langkah yang seperti ini. Bebas terbang tinggi. Pandang bawah lihat manusia yang sama saja acuannya dengan diri ini, lihat langit menikmati indahnya kehidupan jika begini.

    Me Not Jiwang. Dan semua tahu, kau mengerti begitu juga diri ini, bahawasanya hidup ini lebih dari sekadar jiwang jiweng. Biar aku tunjuk dunia kaca mata aku, kau tegur jika ada salah tafsir aku. Sesungguhnya aku tahu, dunia ini, bukan hanya ada kau dan aku.

    Pesan MNJ
    Me Not Jiwang tak semestinya tak jiwang. Jiwang tak semestinya selalu nak jiwang. Lagipun bukankah dah aku bilang, hidup kita ini lebih dari sekadar jiwang jiweng? Peace.

    Salam.


  4. www.tips-fb.com
    Tiap ayat, tiap frasa, tiap baris dan tiap perenggan, adalah tulisan dan idea penulis sendiri yang tiada kena mengena dengan yang hidup mahupun yang telah tiada di dunia ini. Ianya adalah hakcipta terpelihara. Sekiranya ada kandungan yang bukan datangnya dari penulis sendiri, kredit akan diberikan kepada kandungan tersebut. Harap maklum.

    Jika ada soalan, teguran, yang berkenaan dengan Me Not Jiwang atau yang sebidang dengannya, sila emailkan kekeliruan anda kepada

    aan94nur@gmail.com


    Selamat membaca.
    Salam aku untuk kamu.